Monday 2 December 2013

Sesudah 100 Hari

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Masa sangat cepat berlalu...sekejap sahaja sudah 100 hari mama yang tersayang meninggalkan kami adik beradik. Namun masih terdengar-dengar suaranya memanggilku, masih ternampak-nampak wajahnya yang sayu itu....

Sehingga 100 hari ini, hidup kami adik beradik masih belum lagi seperti sediakala..banyak sungguh yang berlaku...tetapi kami masih lagi tetap berusaha untuk hidup seperti biasa walaupun kami sudah tidak beribu bapa seperti kalian.


Mama, tenanglahmu di sana. Perginyamu dengan keyakinan bahawa anak-anakmu sudah tegar berdikari dan mampu mengharungi ranjau dunia ini. Kami juga entah sampai bila akan menongkah arus dunia ini. Suatu hari nanti pasti kami ke 'sana' jua. Segalanya pasti, seperti yang telah Allah janjikan.

Saturday 30 November 2013

Sabar Itu Indah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

"Bawa-bawalah bersabar...jangan ikutkan marah..."
"Bersabarlah, Tuhan lebih sayangkannya.."
"Sabarlah sikit, ikut peraturan..jangan nak memotong je"

Kita selalu mendengar ayat-ayat berikut kan...tetapi apa itu sabar? Adakah sabar itu menahan perasaan marah seperti dalam situasi 1? atau adakah sabar itu menahan perasaan sedih seperti situasi 2? mungkin juga sabar itu bertenang dan berfikir secara wajar seperti situasi 3?


Sabar daripada segi lughah (bahasa) bermaksud menahan dan daripada segi istilah pula bermakna kekuatan jiwa untuk menahan diri daripada berakhlak buruk semasa menghadapi sesuatu musibah atau masalah.

Sabar merupakan satu sifat yang disukai oleh Allah dan perlu ada dalam diri setiap muslim kerana setiap hari kita memang menghadapi pelbagai jenis ujian, masalah dan rintangan. Dengan bersabar, kita akan  mempunyai banyak masa untuk berfikir dengan lebih wajar dan matang. Kadang-kala kita sering menyesal dek kerana ketidaksabaran, kita kehilangan sesuatu yang penting dan bermakna dalam hidup kita.

Aku masih ingat lagi pesanan pensyarah Nahu aku di KUSZA dahulu, beliau telah mencoretkan sebaris ayat apabila diminta untuk menulis buku autograf semasa aku di tahun akhir pengajian. Coretannya, "Nurly, kadang-kala kesabaran lebih penting daripada kebijaksanaan."

Ayat tersebut sebenarnya amat menghantui pemikiran aku...membuatkan aku tertanya-tanya, adakah aku ini manusia yang tidak sabar? Namun, aku cuba berlapang dada dan menganggap ini pesanan penting demi kebaikan masa depan aku.

Sejak dari hari itu, aku belajar untuk bersabar...ya, aku mengaku..dahulu aku merupakan manusia yang mudah melenting...telinga cepat panas...maklumlah darah muda...hati pun mudah panas...

Antara yang aku lakukan dahulu, mengamalkan bacaan Mathurat selepas solat....itupun selepas rakan baikku menghadiahkan buku Mathurat sempena hari lahirku yang ke-19..sebagai penghargaan atas hadiah itu, aku membacanya supaya rakanku itu juga mendapat pahalanya.

Selain itu, aku cuba belajar bersabar dengan selalu menaiki bas awam. Memang sangat berkesan..kerana kita perlu menunggu sekurang-kurangnya satu ke dua jam ketibaan bas tersebut..terutama jika kita tinggal di kampung seperti aku ni....

Lama-kelamaan, aku rasa aku semakin boleh bersabar, selain daripada faktor usia. Jika ada sesuatu perkara yang berlaku tidak kira daripada sekecil-kecil hingga sebesar-besar masalah itu, aku boleh tersenyum lagi dan mendiamkan diri. Oleh itu, apabila Allah datangkan ujian yang besar yang bertubi-tubi kepada aku dan keluarga aku selepas kematian arwah abahku..alhamdulillah, aku dapat bertenang dan cuba menghadapinya dengan setabah yang mungkin. Aku juga berjaya memujuk dan menenangkan arwah mama pada masa itu.

Baru aku sedar, sabar itu memang indah...dan bukan senang untuk menjadi manusia yang penyabar. Hanya yang mengenali aku, mengetahui segala masalah dan musibah yang menimpa kami sekeluarga sahaja yang dapat memahami perasaan aku dan keluarga.

Semua ini, alah bisa tegal biasa bagi kami sekeluarga kerana kami sedar dan tahu setiap ujian yang diberikan oleh Allah adalah tanda Dia sayangkan hamba-Nya...Dia tidak mahu hamba-Nya tergelincir dari jalan yang lurus dan melupakan-Nya. Subhanallah.

Oleh itu, wahai rakan-rakanku..marilah kita bersabar walau apa jua pun rintangan yang melanda...tetapi ingat, bukan sekadar sabar sahaja..kita wajib memohon kepada-Nya agar diringankan segala ujian....Allah suka mendengar rintihan doa hamba-Nya. Wallahu a'lam.

Thursday 28 November 2013

Rezeki Kurniaan-NYA. Alhamdulillah.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Biarlah gambar yang bercerita dahulu.

Segala puji dan syukur untuk Tuhan sekalian alam, Allah S.W.T. Alhamdulillah atas kurniaan rezeki yang tidak disangka-sangka ini. Terima kasih Allah.

Walaupun sebagai manusia, kita boleh memilih, merancang, berusaha bersungguh-sungguh dan berdoa tetapi apabila berkaitan rezeki...itu semua adalah dalam kekuasaan-NYA.

Allah yang berkuasa menentukan ajal maut ibuku yang tersayang dan Allah jualah yang berkuasa menghidupkan janin dalam rahimku ini. Subhanallah....Maha Suci Allah....


Betapa kerdilnya kita sebagai insan di muka bumi ini. Adakah kita masih tidak mahu sujud kepada-NYA? Terlalu banyak nikmat yang telah Dia berikan kepada kita...namun kita ini masih lagi lagha..lalai..leka dengan perhiasan dunia.

Maafkan aku.

Kata-kata aku di atas itu bukan untuk kalian..tetapi untuk renungan diriku sendiri....agar aku tidak tergelincir sekali lagi...


Hidup Ini Pilihan @ Kebetulan @ Takdir ??

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Maaf kerana dimulakan dengan tajuk bertanda soal.

Persoalan sebegini sering merunsing sesetengah daripada kita apabila memikirkan tentang perjalanan kehidupan.

Sewaktu kita masih kecil, kita hanya memandang kehidupan ini sangat indah, semuanya tulus, bercahaya.

Kita sangat teruja untuk menjadi dewasa. Malahan sering membayangkan diri kita seperti watak di dalam sesebuah drama/sinetron/telenovela...

Hakikatnya, hidup ini adalah suatu ujian untuk kita. Hidup ini adalah medan peperiksaan untuk menentukan samada kita lulus cemerlang, sekadar lulus ataupun gagal.  Takdir ajal, rezeki, dan jodoh kita telah ditetapkan oleh Allah S.W.T sejak kita berada dalam kandungan lagi tetapi adakah ini merupakan lesen besar untuk kita untuk tidak berusaha? 

Pada usia sebegini , membuatkan aku memandang semula ke belakang. Apakah yang telah aku lakukan sepanjang aku hidup di dunia ini? Adakah yang aku miliki sekarang hasil daripada pilihan aku, atau semua ini datang secara kebetulan....atau, mungkin ini semua takdir hidup aku?

Aku mengaku, ada beberapa perkara penting yang berlaku dalam hidup aku ini merupakan perkara yang amat aku kesalkan hingga sekarang...tetapi aku tidak mampu untuk berbuat apa-apa...kerana semua itu telah berlalu dan menjadi sebahagian daripada sejarah hidupku.

Bagi diri aku, aku berpendapat ada sesuatu perkara yang berlaku itu merupakan pilihan aku sendiri yang pada akhirnya, aku sangat menyesal melakukannya. Ada juga perkara yang berlaku itu sekadar kebetulan tetapi aku sangat bersyukur pada akhirnya. Perkara-perkara yang telah ditakdirkan seperti pemergian ibu bapaku semasa aku masih memerlukan mereka merupakan perkara yang amat memberikan kesan dalam hidupku.

Oleh itu, untuk mengendalikan kehidupan yang berbentuk ujian dan peperiksaan ini sebenarnya kita perlukan panduan untuk mengelakkan kita daripada tergelincir. Kita perlukan ilmu dan juga bimbingan.

Panduan yang utama ialah Al-Quran, untuk membaca, mentafsir, menaakul dan mengamalkannya maka kita perlukan ilmu dan bimbingan daripada yang pakar. Aku juga seperti kalian, masih lagi lemah mengawal nafsu....masih lagi terumbang-ambing...masih lagi miskin iman....

Doakanlah aku menjadi manusia yang lebih baik daripada sekarang. Manusia yang dapat merasai kelazatan iman.. Aku juga mendoakan kalian. In shaa Allah, semoga kita bersama-sama berjaya menempuh ujian dan peperiksaan ini..... Amin.

Monday 16 September 2013

25 OGOS 2013 (Ahad)

Ya Allah.......

Lama sudah jemariku tidak menari-nari di papan kekunci Vaio putih ini....dek kesuntukan masa berkejaran ke sana ke mari....sibuk dengan tuntutan kerja dan amanah yang dipertanggungjawabkan...
Entry terakhirku pun tentang pemergian arwah abahku..tentang kerinduanku kepadanya....

Tetapi, jam 11.55 pagi tanggal 25 Ogos 2013, di saat bahang Aidilfitri masih terasa....mama kesayangan pula telah dijemput pulang oleh Rabbul Alamin...siapalah aku ini yang dapat menghalangnya...walaupun menangis air mata darah sekalipun....aku sangat terkesima...sangat tidak menyangka....secepat dan semudah itu arwah mamaku diambil-NYA...sesungguhnya, besarlah kekuasaan Allah....subhanallah..

Wahai mamaku, Rokiah Rashid....

Terima kasih atas segala kasih sayang yang kauberikan....cuma anakmu ini yang kekadang buta matanya dek kealpaan duniawi....

Terima kasih atas segala bantuan.....segala  pertolongan..yang tidak dapat aku nyatakan satu persatu kerana terlalu banyak......kini aku berdikari sendiri....rakan taulan saudara mara tidak sama dengan ibu yang satu......

Terima kasih atas segala masa yang kauperuntukkan untukku....kesudiaanmu mendengar segala masalah..segala kesulitan....segala kisah suka duka...hanya dapat kukenang selagi nyawa dikandung badan.....

Terima kasih atas segala-galanya mama.....masih terngiang-ngiang di telingaku dengan satu soalan daripada mulutmu apabila menyaksikan keletah Irfan bersamaku..."Yong, seronok tak menjadi ibu?" Pada masa itu, aku hanya ketawa sahaja.....tapi kini aku faham mengapa mama tersayang sangat protektif...sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan anak-anaknya.....

Tenanglah mama di sana, di sisi pusara abah....kini aku yatim piatu.....sebagai kakak sulung..aku perlu lebih kuat...lebih tabah....demi tiga orang adik lelakiku yang masih kelam jalan hidup mereka...

Doakanlah aku agar dapat menghadapi ranjau duri yang mendatang...moga ada sinar di penghujungnya..................................

al-Fatihah untuk kalian, ayahanda Salim Dorakim dan bonda Rokiah Rashid.....moga roh kalian dicucuri rahmah Ilahi.....dan berada dalam kalangan ahli Syurga, amin.


Friday 31 May 2013

1 Jun 2006 yang lalu......................

1 Jun 2006 yang lalu,
Abahku telah pergi.....
menemui sang penciptanya...
seperti yang telah Dia janjikan...
Hidup ini ujian...
dan mati itu pasti..............

1 Jun 2006 yang lalu,
Aku kehilangan seorang lelaki...
yang sangat aku sayangi...
tempat aku mengadu....
tempat aku bermanja.......

1 Jun 2006 yang lalu,
Perginya dengan pesan....
Jagalah ibumu itu....
Tegurlah adindamu yang bertiga........
Nasihatilah mereka...
Sebagai kekanda yang tua...

1 Jun 2006 yang lalu,
Aku bagai patah sayap...
Aku bagai hilang arah...
Kerana semuanya di bahu...
Membuatkanku kelu hilang bicara....

1 Jun 2006 yang lalu,
Aku mula melangkah maju...
Mengatur tapak demi tapak....
Kadang kala aku terjatuh...
Selalunya aku tersungkur...
Merintih juga dalam hati...
Sukarnya hidup tanpa bapa...

1 Jun 2006 yang lalu,
Telah lama meninggalkanku...
Hampir tujuh tahun lamanya...
Aku sudah punya Irfan Aisy...
Senyuman dan gaya sepertimu abah....
Hilang separuh rinduku....

1 Jun 2006 yang lalu,
Kekal dalam lipatan kenangan...
Tak akan kulupakan...
Jasamu abah.....
Kasihmu abah....
Tegasmu abah....

Sesungguhnya kakyong tetap ingat dan mendoakan abah selalu....


Wednesday 8 May 2013

April Yang Telah Berlalu...

Wahai April, maafkan aku....

Aku alpa seketika dalam meladeni tugasan yang umpama bukit ini.
April juga penuh dengan keraian...Selamat Hari Lahir bondaku, Puan Rokiah Rashid..moga sentiasa tabah menghadapi dugaan hidup...ibuku ini amat sabar...sebab itulah beliau sering diduga dengan dugaan yang kadang kala tidak terfikir di benak kita...Tapi, ibu tetap juara apabila berjaya mengharungi rintangan itu.....aku amat bangga memiliki bonda sepertimu...

Selamat Hari Lahir almarhum ayahandaku, Salim Dorakim...moga rohmu sentiasa sejahtera di alam sana...ketiadaanmu ini amat kami rasakan walaupun masa berlari meninggalkan kami...tidak sekelip matapun kami lupakanmu, abah....

Selamat Hari Lahir adindaku Anwar...aku amat berharap dinda tabah melalui detik-detik sukar ini. Jadikanlah segala yang berlaku ini sebagai pengajaran yang berharga. Jangan ulangi lagi kesilapan lalu. In shaa Allah..kejayaan pasti bersamamu kelak

Selamat Datang Mei..

Selamat datang Mei...Selamat datang kesibukan....terlalu sibuk hal keduniaan sehinggakan tak sempat update blog untuk April..apa apapun itu sudah tinggal sejarah..

so, apa yang menarik di bulan Mei ini??? yup 5 Mei 2013 yang lalu kita baru sahaja mengundi sempena PRU 13...owh, saya tak mau komen panjang-panjang tentang hal ini...yang penting, saya mengundi buat kali ketiga....dan sudah tentulah undi anda rahsia? tapi ada orang kata jika kita jawab, "undi itu rahsia" menandakan kita sokong parti dacing...betul ke? hahahaha.....tepuk dada tanyalah selera sendiri...

Bulan Mei ini bulan untuk memperingati jasa ibu...jasa guru... jasa jururawat..... terfikirkah kalian, mengapa kita memerlukan masa yang khusus untuk menghargai jasa orang lain kepada kita? Bukankah kita diajar dan diasuh untuk berterima kasih dan bersyukur setiap masa? Bagaimana pula tanda kesyukuran dan terima kasih yang wajar kita tunjukkan? adakah memadai dengan menghulurkan hadiah....memeluk dan mengucapkan terima kasih?

Yang paling molek, kita sentiasa menunjukkan perhargaan kepada mereka....sentiasa menghormati mereka...sentiasa mengamalkan segala nasihat dan ajaran mereka.....

Saya percaya bukan hadiah yang ditunggu-tunggu oleh sang ibu....para guru dan jururawat, tetapi sikap dan perhatian yang kita berikan itu yang menjadi keutamaan....

Jadi diucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua ibu di dunia ini...moga sentiasa senyum, sentiasa cantik....sentiasa masak sedap-sedap.. Kepada guru pula, teruskan usaha mendidik dan mentarbiah anak-anak agar menjadi insan yang kamil...yang tahu menghormati orang lain...yang boleh memimpin keluarga dan negara... Kepada jururawat, berbaktilah dengan memberikan perkhidmatan kelas pertama kepada pesakit...walaupun pesakit itu hanya layak di kelas ketiga ^_^

Sunday 3 March 2013

AS Beauty....Insha-Allah, selamanya.....

Assalamualaikum,

>>AS Beauty? apa tu? oh, produk kecantikan ye? 

Betullah tu tekaannya....ye, produk kecantikan...buatan Malaysia...bahan-bahan yang digunakan pun...memang ada di Malaysia...ada juga di belakang rumah kita je....macam kunyit tu.... 

>>Berkesan ke? eeee....sorry, saya tak percaya buatan Malaysia....saya guna produk antarabangsa....barangan import...artis luar negara yang jadi dutanya.....tak kisahlah harga beratus-ratus pun....

Berkesan...hasilnya sama macam kita gunakan produk antarabangsa...malah produk ini halal...dan selamat.... memang harganya murah sahaja....untuk cantik, kita tak perlukan buang duit yang banyak...memadailah kita pandai memilih dan membuat keputusan yang bijak.

>>Betul ke berkesan ni?? Siapa artis yang gunakan produk ini? 

Oh, produk ini tidak memerlukan bantuan artis untuk melariskannya... Produk ini dikenali daripada mulut ke mulut...contohnya, Mak Cik Peah Kantin Sekolah gunakan produk ini...mukanya jadi cantik berseri..semua jeragat hilang..tentulah cikgu-cikgu kat situ iri hati dan bertanya produk yang digunakan....Sebab itulah, produk ini makin dikenali dan bertambah bilangan pengguna walaupun tidak mengiklankannya dalam televisyen, radio dan majalah.....

>>Errrr.....berapa harganya kalau murah sangat tu?

Kalau baru peringkat ingin mencuba...boleh beli pek percubaan...hanya RM50 sahaja...insha-Allah dalam dua minggu sudah boleh nampak perubahannya...jika betul cara penggunaannya.

hahaha, begitulah serba sedikit pengalaman yang aku alami semasa memperkenalkan produk ini...aku menggunakan produk ini sejak Mei 2012 hingga sekarang...antara faedah yang aku peroleh ialah:

1. Jimat duit : dengan hanya satu set lengkap produk ini iaitu RM120..aku boleh gunakan selama tiga bulan...siap kongsi dengan suami aku lagi tu..


2. Jimat masa : dulu aku ambil masa yang lama untuk bersiap...mula-mula basuh muka...pakai toner...pakai serum...pakai pelembap..pakai sunblock...pakai bb cream..pakai bedak...fuhhh...
sekarang aku basuh muka, pakai krim siang...sapu bedak...siap!! 

3. Muka makin bersih : dulu aku perlu picit keluarkan biji nasi kat hidung tu...kadang-kadang beli scrub foam je...beli ubat jerawat lagi...huhuhu...sekarang? tak payah da...sebab da tak ada masalah begitu lagi....kalau adapun jerawat manja yang keluar tu, memadai guna krim malam secara konsisten...hilanglah nanti...

tak percaya lagi???? hahaha....ada aku kisah...



Jika berminat, hubungi aku ye... 




Selamat Tinggal Sahabat...

Assalamualaikum....


Aku masih lagi berduka...apabila mendapat perkhabaran tentang pemergian rakan sahabatku yang dijemput pulang oleh Malaikat Izrail untuk menemui Yang Esa...Setiap tahun aku kehilangan rakan...yang terbaru ialah sahabat baikku semasa di SM JAIM Merlimau dahulu...allahyarhamah Tutti Hayati Mohd Salleh....aku baru sahaja menelefon arwah Januari lalu untuk bertanya khabar...pada masa itu, dia sedang sakit dan berada di hospital di Kuantan...aku hanya mendoakan agarnya cepat sembuh...Namun, kita hanya merancang...Allah penentu segala...sahabatku menghembuskan nafas yang terakhir pada hari Jumaat, 22 Februari lalu....akibat kuman SLE yang sudah menjangkiti paru-paru...

Allahyarhamah seorang sahabat yang sangat baik, lemah lembut percakapannya, suka menolong dan menasihatiku.....dahulu kami bagaikan kembar kerana sama tinggi....


Aku doakan semoga arwah Tutti Hayati (sebelah kanan) berada dalam kalangan mereka yang dirahmati Allah...dan masuk syurga. Insha-Allah. al-Fatihah.

Kedua,

Seorang sahabatku yang bersama-sama belajar di Institut Pendidikan Perempuan Melayu Melaka iaitu, allahyarham Jambori Mikat juga telah dijemput untuk menemui Yang Esa akibat kemalangan jalan raya. Allahyarham seorang rakan yang suka bercerita, menasihati dan juga berjenaka...sudah tentu aku terasa kehilangannya kerana dia selalu memberi komen dalam setiap post di laman muka buku.


Ini ialah keratan akhbar tentang berita kemalangan arwah. Semoga arwah juga berada dalam kalangan mereka yang beriman. Insya-Allah. al-Fatihah..


Ketiga,

Sahabatku allahyarhamah Hazlinah Abu Samah yang selalu kutemui apabila menghadiri mesyuarat ketua panitia Bahasa Melayu semasa mengajar di Melaka dahulu. Kami sering bertukar-tukar cerita, pendapat dan kisah apabila berjumpa. Tambahan pula, kawan baik arwah juga merupakan kawan baikku semasa belajar di IPPM. Jadi makin lama hubungan kami makin erat. Namun arwah telah ditimpa kemalangan berdekatan kampung aku hingga meragut nyawanya. Aku sempat menziarahi jenazah arwah di Hospital Jasin.



Aku doakan allahyarhamah berada dalam kalangan mereka yang dirahmati Allah....insha-Allah. al-Fatihah....

Keempat,

Sahabatku allahyarhamah Noor Azfa binti Zainal Abidin...rakan sepengajian di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dan juga UKM..Kami belajar dalam bidang yang sama iaitu Bahasa dan Kesusasteraan Arab...aku selalu menemani arwah ke HUKM untuk mendapatkan pemeriksaan doktor..pada masa itu, arwah menghidapi tiroid. arwah seorang rakan yang manja tetapi tegas..maklumlah arwah anak bongsu....berita pemergian arwah telah disampaikan oleh sahabat kami juga, Yati... Arwah meninggalkan dunia yang fana ini akibat sakit athma....


(Arwah berdiri di belakang kedua dari kanan)

Selamat Tinggal sahabat-sahabatku....insha-Allah suatu hari nanti aku juga akan pergi ke sana seperti kalian...kita tidak tahu apa yang akan berlaku  esok atau lusa...

sesungguhnya mengingati mati itu sunat...supaya kita sentiasa sedar diri dan bangkit daripada kealpaan duniawi. ingatlah mati itu pasti...bukan orang tua atau orang yang sakit tenat sahaja yang akan pergi tetapi sering berlaku yang muda lela...sihat sejahtera juga dijemput pulang oleh si malaikat maut.



Tesis Aku Lahhhhh...

Assalamualaikum..

Hari ini hari Ahad...masa berehat di samping kerja-kerja sekolah yang tidak pernah nak surut...aku sepatutnya menyiapkan Headcount untuk subjek yang aku ajar...tapi aku jadi agak malas hehehe...ye la, setiap hari aku bekerja...termasuklah Sabtu..kerana aku mengajar kelas tambahan untuk murid UPSR....jadi, aku rasa aku nak rehat sekejap daripada memikirkan hal sekolah....

Oleh itu, aku pun berjalan-jalan ke blog yang ada dalam internet ini....tiba-tiba....jeng..jeng...jeng...aku terkesima...terkejut...teruja....apabila melihat sebuah buku keluaran UKM...ye, aku ni graduan lepasan UKM laaaa....bidang pengajaran Arab dan Tamadun Islam lagi...cuma rezeki aku menjadi guru Bahasa Malaysia hehehe

Ok..Ok...Ok...kembali kepada tajuk....rupanya tesis aku telah dibukukan....oh lalalala.....cuba tengok ni;





hah, nampak tak..ada tajuk "al-Musamarah: Tokoh Penyair pada Zaman 'Abbasi" tu?? inilah tajuk tesis aku..ingat lagi, pada mulanya aku kena tulis tesis tu dalam bahasa Arab....pergh jenuh bersilat nak tulis...tetapi apabila aku bertukar pensyarah penyelia..aku kena terjemahkan semula kepada bahasa Malaysia...tapi lagi bertaekwondo la aku...sebab..kebanyakan buku rujukan semuanya dalam bahasa Arab... ^_^

Apa-apapun itu adalah pengalaman dan kenangan untuk aku.... sudah tentu aku bersyukur kerana diberikan peluang untuk mempelajari bahasa Arab dengan mendalam...walaupun kerjaya aku sekarang berbeza. 

Aku pernah berkata kepada seorang senior aku dahulu yang aku berusaha untuk tidak melupakan ilmu bahasa Arab yang aku telah pelajari ini dengan mengamalkan membaca al-Quran....Namun selalunya aku sering terlupa....tak sempat....dan tentulah itu semuanya salah aku sendiri...

Jika aku berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana nanti...aku rasa aku ingin mendalami bidang Tamadun Islam. Insya-Allah ;-)

Wednesday 30 January 2013

apabila...PERGI tak KEMBALI...

Assalamulaikum....

Minggu lepas hidupku dikejutkan oleh berita pemergian rakan seperjuanganku..yang sama-sama menuntut ilmu keguruan semasa di IPPM beberapa tahun lepas. 

Pada mulanya aku cuba untuk tidak percaya....tapi mati ini pasti...tidak akan cepat walau seminit...dan tidak akan lambat walau sesaat....Ya Allah...aku sangat insaf...Mati ini bukanlah untuk mereka yang sedang menderita sakit....bukan juga untuk mereka yang sudah bertahun-tahun terlantar di atas katil.....malahan, mati ini bukan juga pasti untuk mereka yang bergantung hidup menggunakan mesin bantuan pernafasan....

Allahyarham rakanku ini, sihat wal afiat...sentiasa bersukan...tapi dia telah dijemput Allah lebih awal...dia terlibat dalam kemalangan jalan raya....arwah menunggang motosikal..Kisah yang sama seperti 2 tahun lepas...rakan sekerjaya...sering berjumpa di mesyuarat dan kursus anjuran jabatan...telah kembali ke rahmatullah..akibat kemalangan...berdekatan kampung aku..

Sebagai hamba Allah yang percayakan takdir...redhakanlah pemergian mereka...kerana suatu hari nanti atau mungkin esok lusa...kita juga akan dijemput ke sana....





Adakah kita sudah bersedia untuk ke sana?? Sudah cukupkah bekalan kita?? 




 

Sunday 13 January 2013

SALAHKAH NAFSU??

Assalam...

Nampaknya mood aku untuk menaip tiba-tiba muncul...Jari jemariku juga sangat bekerjasama dengan mood dan mindaku....

Ok, kita kembali kepada persoalan, "Salahkah nafsu?"... Aku sering terbaca di majalah, buku, blog dan di surat khabar...yang manusia ini sering menunding jari kepada nafsu apabila mereka tertangkap melakukan sesuatu kesilapan....

Jadi aku terfikir, adakah nafsu itu benar-benar bersalah??? memang benar kita ini diberikan nafsu...tetapi bukankah kita juga dikurniakan akal?? dan.... kita juga berusaha mempelajari ilmu pengetahuan untuk membantu akal berfikir.... malahan yang penting sekali, kita telah dibekali iman dalam diri...

Memang benar, aku juga bukanlah sesempurna mana..aku juga melakukan kesilapan...aku juga pernah berdosa.... tetapi kemusykilan aku ini ialah....mengapa kita salahkan nafsu jika kita sendiri sedar perbuatan itu berdosa?? Bukankah kita sendiri yang pilih untuk melakukannya????

Ada dalam kalangan manusia...yang sering menyalahkan nafsu...mengaku salah tapi masih lagi melakukan kesilapan.... mereka ini beranggapan diri mereka bersih dan baik...hanya nafsu itu yang salah...ketahuilah, apa akan jadi jika Allah tidak berikan nafsu kepada kita?...

Kesimpulannya, kita yang patut mengaku salah atas kesilapan diri kita....kita yang tidak pandai mengemudikan nafsu kita...kita sendiri yang tidak boleh menjaga iman yang kadangkala bertambah..dan kadangkala menurun ini...semuanya salah kita.....mengaku salah...dan berubah..itu lebih baik daripada kita menyalahkan nafsu....

Sekian.




Salam Tahun Baru Miladiah.... Harap tidak terlewat ucapan aku ini...Hidup aku di tahun ini masih belum stabil...agak terkejar-kejar ke sana ke mari...Mungkin itu punca blog aku ini tidak sempat dikemaskini...

Azam baru? Aku dah mula berazam baru ketika Tahun Baru Hijriah dulu....jadi azam aku masih sama.. Aku ingin berubah menjadi insan yang lebih baik...daripada pelbagai sudut...sama ada sebagai isteri...sebagai ibu...sebagai anak...sebagai guru...sebagai rakan sekerja...sebagai kakak...sebagai anak saudara....dan yang penting...aku ingin menjadi hamba Allah yang baik...Insya-Allah...semoga azam aku ini dipermudah oleh-Nya...

Selain itu, aku ingin bekerja dengan lebih keras...untuk mengumpul dan membayar hutang piutang yang ada ini...aku pun seperti kalian, tidak mahu roh aku tergantung antara langit dan bumi selepas aku meninggal dunia kelak....mati itu pasti....dan kita dituntut mengingati mati...hanya dengan mengingati mati sahaja, kita akan dapat mendekatkan diri dengan Allah s.w.t....

Sebenarnya, banyak yang aku rancang untuk hidup aku ini...tetapi aku masih belum dapat membuat jadual yang jelas...semuanya masih bermain di minda...macam yang aku kata pada awal-awal tadi, hidup aku sekarang agak kelam kabut...masih terkejar-kejar...Namun, mujurlah Allah bukakan hati ibuku untuk datang tinggal sementara bersamaku...alhamdulillah...kita sebenarnya tidak tahu perancangan Allah....

Agak pelikkah dengan gaya bahasa dan penggunaan perkataan dalam teks aku ini?? ;-) ya, itu juga satu perubahan...sebagai guru Bahasa Malaysia...aku rasa ada sedikit tanggungjawab untuk mendaulatkan bahasa ini... Tambahan pula, aku sendiri agak kecewa jika membaca ayat-ayat yang ditaip oleh bekas anak muridku....terlalu banyak huruf 'w'...ejaannya,...bahasanya...semua sudah ke laut.....sedih kerana aku pernah mengajar mereka Bahasa Malaysia...dan mereka mendapat gred A...

Baiklah...aku malas hendak mengulas panjang lebar....kepada pembaca tegar...pembaca curi-curi blogku ini....SELAMAT TAHUN BARU...marilah kita berubah menjadi insan yang lebih baik...

INARA AISYA

Terlalu pantas cara kelahiranmu, Inara Aisya. Asalnya ibu hanya ke klinik pakar O&G Hospital Ampang hanya untuk rutin pemeriksaan setela...