Saturday 30 November 2013

Sabar Itu Indah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

"Bawa-bawalah bersabar...jangan ikutkan marah..."
"Bersabarlah, Tuhan lebih sayangkannya.."
"Sabarlah sikit, ikut peraturan..jangan nak memotong je"

Kita selalu mendengar ayat-ayat berikut kan...tetapi apa itu sabar? Adakah sabar itu menahan perasaan marah seperti dalam situasi 1? atau adakah sabar itu menahan perasaan sedih seperti situasi 2? mungkin juga sabar itu bertenang dan berfikir secara wajar seperti situasi 3?


Sabar daripada segi lughah (bahasa) bermaksud menahan dan daripada segi istilah pula bermakna kekuatan jiwa untuk menahan diri daripada berakhlak buruk semasa menghadapi sesuatu musibah atau masalah.

Sabar merupakan satu sifat yang disukai oleh Allah dan perlu ada dalam diri setiap muslim kerana setiap hari kita memang menghadapi pelbagai jenis ujian, masalah dan rintangan. Dengan bersabar, kita akan  mempunyai banyak masa untuk berfikir dengan lebih wajar dan matang. Kadang-kala kita sering menyesal dek kerana ketidaksabaran, kita kehilangan sesuatu yang penting dan bermakna dalam hidup kita.

Aku masih ingat lagi pesanan pensyarah Nahu aku di KUSZA dahulu, beliau telah mencoretkan sebaris ayat apabila diminta untuk menulis buku autograf semasa aku di tahun akhir pengajian. Coretannya, "Nurly, kadang-kala kesabaran lebih penting daripada kebijaksanaan."

Ayat tersebut sebenarnya amat menghantui pemikiran aku...membuatkan aku tertanya-tanya, adakah aku ini manusia yang tidak sabar? Namun, aku cuba berlapang dada dan menganggap ini pesanan penting demi kebaikan masa depan aku.

Sejak dari hari itu, aku belajar untuk bersabar...ya, aku mengaku..dahulu aku merupakan manusia yang mudah melenting...telinga cepat panas...maklumlah darah muda...hati pun mudah panas...

Antara yang aku lakukan dahulu, mengamalkan bacaan Mathurat selepas solat....itupun selepas rakan baikku menghadiahkan buku Mathurat sempena hari lahirku yang ke-19..sebagai penghargaan atas hadiah itu, aku membacanya supaya rakanku itu juga mendapat pahalanya.

Selain itu, aku cuba belajar bersabar dengan selalu menaiki bas awam. Memang sangat berkesan..kerana kita perlu menunggu sekurang-kurangnya satu ke dua jam ketibaan bas tersebut..terutama jika kita tinggal di kampung seperti aku ni....

Lama-kelamaan, aku rasa aku semakin boleh bersabar, selain daripada faktor usia. Jika ada sesuatu perkara yang berlaku tidak kira daripada sekecil-kecil hingga sebesar-besar masalah itu, aku boleh tersenyum lagi dan mendiamkan diri. Oleh itu, apabila Allah datangkan ujian yang besar yang bertubi-tubi kepada aku dan keluarga aku selepas kematian arwah abahku..alhamdulillah, aku dapat bertenang dan cuba menghadapinya dengan setabah yang mungkin. Aku juga berjaya memujuk dan menenangkan arwah mama pada masa itu.

Baru aku sedar, sabar itu memang indah...dan bukan senang untuk menjadi manusia yang penyabar. Hanya yang mengenali aku, mengetahui segala masalah dan musibah yang menimpa kami sekeluarga sahaja yang dapat memahami perasaan aku dan keluarga.

Semua ini, alah bisa tegal biasa bagi kami sekeluarga kerana kami sedar dan tahu setiap ujian yang diberikan oleh Allah adalah tanda Dia sayangkan hamba-Nya...Dia tidak mahu hamba-Nya tergelincir dari jalan yang lurus dan melupakan-Nya. Subhanallah.

Oleh itu, wahai rakan-rakanku..marilah kita bersabar walau apa jua pun rintangan yang melanda...tetapi ingat, bukan sekadar sabar sahaja..kita wajib memohon kepada-Nya agar diringankan segala ujian....Allah suka mendengar rintihan doa hamba-Nya. Wallahu a'lam.

Thursday 28 November 2013

Rezeki Kurniaan-NYA. Alhamdulillah.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Biarlah gambar yang bercerita dahulu.

Segala puji dan syukur untuk Tuhan sekalian alam, Allah S.W.T. Alhamdulillah atas kurniaan rezeki yang tidak disangka-sangka ini. Terima kasih Allah.

Walaupun sebagai manusia, kita boleh memilih, merancang, berusaha bersungguh-sungguh dan berdoa tetapi apabila berkaitan rezeki...itu semua adalah dalam kekuasaan-NYA.

Allah yang berkuasa menentukan ajal maut ibuku yang tersayang dan Allah jualah yang berkuasa menghidupkan janin dalam rahimku ini. Subhanallah....Maha Suci Allah....


Betapa kerdilnya kita sebagai insan di muka bumi ini. Adakah kita masih tidak mahu sujud kepada-NYA? Terlalu banyak nikmat yang telah Dia berikan kepada kita...namun kita ini masih lagi lagha..lalai..leka dengan perhiasan dunia.

Maafkan aku.

Kata-kata aku di atas itu bukan untuk kalian..tetapi untuk renungan diriku sendiri....agar aku tidak tergelincir sekali lagi...


Hidup Ini Pilihan @ Kebetulan @ Takdir ??

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Maaf kerana dimulakan dengan tajuk bertanda soal.

Persoalan sebegini sering merunsing sesetengah daripada kita apabila memikirkan tentang perjalanan kehidupan.

Sewaktu kita masih kecil, kita hanya memandang kehidupan ini sangat indah, semuanya tulus, bercahaya.

Kita sangat teruja untuk menjadi dewasa. Malahan sering membayangkan diri kita seperti watak di dalam sesebuah drama/sinetron/telenovela...

Hakikatnya, hidup ini adalah suatu ujian untuk kita. Hidup ini adalah medan peperiksaan untuk menentukan samada kita lulus cemerlang, sekadar lulus ataupun gagal.  Takdir ajal, rezeki, dan jodoh kita telah ditetapkan oleh Allah S.W.T sejak kita berada dalam kandungan lagi tetapi adakah ini merupakan lesen besar untuk kita untuk tidak berusaha? 

Pada usia sebegini , membuatkan aku memandang semula ke belakang. Apakah yang telah aku lakukan sepanjang aku hidup di dunia ini? Adakah yang aku miliki sekarang hasil daripada pilihan aku, atau semua ini datang secara kebetulan....atau, mungkin ini semua takdir hidup aku?

Aku mengaku, ada beberapa perkara penting yang berlaku dalam hidup aku ini merupakan perkara yang amat aku kesalkan hingga sekarang...tetapi aku tidak mampu untuk berbuat apa-apa...kerana semua itu telah berlalu dan menjadi sebahagian daripada sejarah hidupku.

Bagi diri aku, aku berpendapat ada sesuatu perkara yang berlaku itu merupakan pilihan aku sendiri yang pada akhirnya, aku sangat menyesal melakukannya. Ada juga perkara yang berlaku itu sekadar kebetulan tetapi aku sangat bersyukur pada akhirnya. Perkara-perkara yang telah ditakdirkan seperti pemergian ibu bapaku semasa aku masih memerlukan mereka merupakan perkara yang amat memberikan kesan dalam hidupku.

Oleh itu, untuk mengendalikan kehidupan yang berbentuk ujian dan peperiksaan ini sebenarnya kita perlukan panduan untuk mengelakkan kita daripada tergelincir. Kita perlukan ilmu dan juga bimbingan.

Panduan yang utama ialah Al-Quran, untuk membaca, mentafsir, menaakul dan mengamalkannya maka kita perlukan ilmu dan bimbingan daripada yang pakar. Aku juga seperti kalian, masih lagi lemah mengawal nafsu....masih lagi terumbang-ambing...masih lagi miskin iman....

Doakanlah aku menjadi manusia yang lebih baik daripada sekarang. Manusia yang dapat merasai kelazatan iman.. Aku juga mendoakan kalian. In shaa Allah, semoga kita bersama-sama berjaya menempuh ujian dan peperiksaan ini..... Amin.

INARA AISYA

Terlalu pantas cara kelahiranmu, Inara Aisya. Asalnya ibu hanya ke klinik pakar O&G Hospital Ampang hanya untuk rutin pemeriksaan setela...