Friday, 1 August 2014

Salam Lebaran 2014

ASSALAMUALAIKUM, SALAM AIDILFITRI..

Bersawang laman blog aku ni..rupanya aku tidak mengemaskininya sejak masuknya tahun 2014. Aku akui bahawa tahun ini aku dilanda kesibukan..masa yang ada tidak mencukupi untuk aku meninjau ke dalam blog aku ini.

Walaubagaimanapun, aku sekarang bercuti tiga bulan selepas melahirkan bayi perempuan yang bernama Ilmy Annuha... moga dengan izin-Nya, aku dapat meluangkan masa di blog ini.

Hari ini baru sahaja raya ke-5, namun aku tidak merasai kemeriahan sejak hari pertamanya lagi. Mungkin kerana aku sendiri di dalam pantang..masih lagi penat letih bertarung nyawa semasa di dewan bersalin. Namun yang pastinya, ini adalah kali pertama aku dan adik-adik beraya sebagai anak yatim. Tiada lagi raut wajah abah dan mama yang dapat kami tatapi...tiada lagi sepasang tangan tua yang dapat kami genggam dan kucup untuk memohon ampun maaf...tiada lagi kata-kata nasihat untuk kami jadikan bekal menyelusuri kehidupan ini.

Kami meraikan eidul fitri tahun ini dengan kesedihan..dengan keadaan adik beradik yang tidak dapat berkumpul semuanya..adik ketigaku juga makin sakit...entah bilalah dia akan sembuh seperti sediakala. Hanya aku dan adik keduaku sahaja yang menziarahi kubur abah dan mama... pada kami, memadailah kami pergi ke kubur sahaja pada hari raya tahun ini.

Pada petang raya pertama, kami berpecah dan pulang ke kampung mentua masing-masing. Ibu mentua kami pun sudah tua dan sakit-sakit, pada mereka sahajalah kami menumpang kasih...

Di sini saya mengambil peluang untuk mengucapkan selamat hari raya kepada rakan dan sanak saudara..maafkanlah saya dan adik-adik yang miskin hina ini, saya tahu ada yang terasa hati dengan sikap kami adik beradik...mungkin apa yang kami fikir itu tidak sama dengan pemikiran kalian..kami minta maaf banyak-banyak...

Monday, 2 December 2013

Sesudah 100 Hari

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Masa sangat cepat berlalu...sekejap sahaja sudah 100 hari mama yang tersayang meninggalkan kami adik beradik. Namun masih terdengar-dengar suaranya memanggilku, masih ternampak-nampak wajahnya yang sayu itu....

Sehingga 100 hari ini, hidup kami adik beradik masih belum lagi seperti sediakala..banyak sungguh yang berlaku...tetapi kami masih lagi tetap berusaha untuk hidup seperti biasa walaupun kami sudah tidak beribu bapa seperti kalian.


Mama, tenanglahmu di sana. Perginyamu dengan keyakinan bahawa anak-anakmu sudah tegar berdikari dan mampu mengharungi ranjau dunia ini. Kami juga entah sampai bila akan menongkah arus dunia ini. Suatu hari nanti pasti kami ke 'sana' jua. Segalanya pasti, seperti yang telah Allah janjikan.

Saturday, 30 November 2013

Sabar Itu Indah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

"Bawa-bawalah bersabar...jangan ikutkan marah..."
"Bersabarlah, Tuhan lebih sayangkannya.."
"Sabarlah sikit, ikut peraturan..jangan nak memotong je"

Kita selalu mendengar ayat-ayat berikut kan...tetapi apa itu sabar? Adakah sabar itu menahan perasaan marah seperti dalam situasi 1? atau adakah sabar itu menahan perasaan sedih seperti situasi 2? mungkin juga sabar itu bertenang dan berfikir secara wajar seperti situasi 3?


Sabar daripada segi lughah (bahasa) bermaksud menahan dan daripada segi istilah pula bermakna kekuatan jiwa untuk menahan diri daripada berakhlak buruk semasa menghadapi sesuatu musibah atau masalah.

Sabar merupakan satu sifat yang disukai oleh Allah dan perlu ada dalam diri setiap muslim kerana setiap hari kita memang menghadapi pelbagai jenis ujian, masalah dan rintangan. Dengan bersabar, kita akan  mempunyai banyak masa untuk berfikir dengan lebih wajar dan matang. Kadang-kala kita sering menyesal dek kerana ketidaksabaran, kita kehilangan sesuatu yang penting dan bermakna dalam hidup kita.

Aku masih ingat lagi pesanan pensyarah Nahu aku di KUSZA dahulu, beliau telah mencoretkan sebaris ayat apabila diminta untuk menulis buku autograf semasa aku di tahun akhir pengajian. Coretannya, "Nurly, kadang-kala kesabaran lebih penting daripada kebijaksanaan."

Ayat tersebut sebenarnya amat menghantui pemikiran aku...membuatkan aku tertanya-tanya, adakah aku ini manusia yang tidak sabar? Namun, aku cuba berlapang dada dan menganggap ini pesanan penting demi kebaikan masa depan aku.

Sejak dari hari itu, aku belajar untuk bersabar...ya, aku mengaku..dahulu aku merupakan manusia yang mudah melenting...telinga cepat panas...maklumlah darah muda...hati pun mudah panas...

Antara yang aku lakukan dahulu, mengamalkan bacaan Mathurat selepas solat....itupun selepas rakan baikku menghadiahkan buku Mathurat sempena hari lahirku yang ke-19..sebagai penghargaan atas hadiah itu, aku membacanya supaya rakanku itu juga mendapat pahalanya.

Selain itu, aku cuba belajar bersabar dengan selalu menaiki bas awam. Memang sangat berkesan..kerana kita perlu menunggu sekurang-kurangnya satu ke dua jam ketibaan bas tersebut..terutama jika kita tinggal di kampung seperti aku ni....

Lama-kelamaan, aku rasa aku semakin boleh bersabar, selain daripada faktor usia. Jika ada sesuatu perkara yang berlaku tidak kira daripada sekecil-kecil hingga sebesar-besar masalah itu, aku boleh tersenyum lagi dan mendiamkan diri. Oleh itu, apabila Allah datangkan ujian yang besar yang bertubi-tubi kepada aku dan keluarga aku selepas kematian arwah abahku..alhamdulillah, aku dapat bertenang dan cuba menghadapinya dengan setabah yang mungkin. Aku juga berjaya memujuk dan menenangkan arwah mama pada masa itu.

Baru aku sedar, sabar itu memang indah...dan bukan senang untuk menjadi manusia yang penyabar. Hanya yang mengenali aku, mengetahui segala masalah dan musibah yang menimpa kami sekeluarga sahaja yang dapat memahami perasaan aku dan keluarga.

Semua ini, alah bisa tegal biasa bagi kami sekeluarga kerana kami sedar dan tahu setiap ujian yang diberikan oleh Allah adalah tanda Dia sayangkan hamba-Nya...Dia tidak mahu hamba-Nya tergelincir dari jalan yang lurus dan melupakan-Nya. Subhanallah.

Oleh itu, wahai rakan-rakanku..marilah kita bersabar walau apa jua pun rintangan yang melanda...tetapi ingat, bukan sekadar sabar sahaja..kita wajib memohon kepada-Nya agar diringankan segala ujian....Allah suka mendengar rintihan doa hamba-Nya. Wallahu a'lam.

Thursday, 28 November 2013

Rezeki Kurniaan-NYA. Alhamdulillah.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Biarlah gambar yang bercerita dahulu.

Segala puji dan syukur untuk Tuhan sekalian alam, Allah S.W.T. Alhamdulillah atas kurniaan rezeki yang tidak disangka-sangka ini. Terima kasih Allah.

Walaupun sebagai manusia, kita boleh memilih, merancang, berusaha bersungguh-sungguh dan berdoa tetapi apabila berkaitan rezeki...itu semua adalah dalam kekuasaan-NYA.

Allah yang berkuasa menentukan ajal maut ibuku yang tersayang dan Allah jualah yang berkuasa menghidupkan janin dalam rahimku ini. Subhanallah....Maha Suci Allah....


Betapa kerdilnya kita sebagai insan di muka bumi ini. Adakah kita masih tidak mahu sujud kepada-NYA? Terlalu banyak nikmat yang telah Dia berikan kepada kita...namun kita ini masih lagi lagha..lalai..leka dengan perhiasan dunia.

Maafkan aku.

Kata-kata aku di atas itu bukan untuk kalian..tetapi untuk renungan diriku sendiri....agar aku tidak tergelincir sekali lagi...


Hidup Ini Pilihan @ Kebetulan @ Takdir ??

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Maaf kerana dimulakan dengan tajuk bertanda soal.

Persoalan sebegini sering merunsing sesetengah daripada kita apabila memikirkan tentang perjalanan kehidupan.

Sewaktu kita masih kecil, kita hanya memandang kehidupan ini sangat indah, semuanya tulus, bercahaya.

Kita sangat teruja untuk menjadi dewasa. Malahan sering membayangkan diri kita seperti watak di dalam sesebuah drama/sinetron/telenovela...

Hakikatnya, hidup ini adalah suatu ujian untuk kita. Hidup ini adalah medan peperiksaan untuk menentukan samada kita lulus cemerlang, sekadar lulus ataupun gagal.  Takdir ajal, rezeki, dan jodoh kita telah ditetapkan oleh Allah S.W.T sejak kita berada dalam kandungan lagi tetapi adakah ini merupakan lesen besar untuk kita untuk tidak berusaha? 

Pada usia sebegini , membuatkan aku memandang semula ke belakang. Apakah yang telah aku lakukan sepanjang aku hidup di dunia ini? Adakah yang aku miliki sekarang hasil daripada pilihan aku, atau semua ini datang secara kebetulan....atau, mungkin ini semua takdir hidup aku?

Aku mengaku, ada beberapa perkara penting yang berlaku dalam hidup aku ini merupakan perkara yang amat aku kesalkan hingga sekarang...tetapi aku tidak mampu untuk berbuat apa-apa...kerana semua itu telah berlalu dan menjadi sebahagian daripada sejarah hidupku.

Bagi diri aku, aku berpendapat ada sesuatu perkara yang berlaku itu merupakan pilihan aku sendiri yang pada akhirnya, aku sangat menyesal melakukannya. Ada juga perkara yang berlaku itu sekadar kebetulan tetapi aku sangat bersyukur pada akhirnya. Perkara-perkara yang telah ditakdirkan seperti pemergian ibu bapaku semasa aku masih memerlukan mereka merupakan perkara yang amat memberikan kesan dalam hidupku.

Oleh itu, untuk mengendalikan kehidupan yang berbentuk ujian dan peperiksaan ini sebenarnya kita perlukan panduan untuk mengelakkan kita daripada tergelincir. Kita perlukan ilmu dan juga bimbingan.

Panduan yang utama ialah Al-Quran, untuk membaca, mentafsir, menaakul dan mengamalkannya maka kita perlukan ilmu dan bimbingan daripada yang pakar. Aku juga seperti kalian, masih lagi lemah mengawal nafsu....masih lagi terumbang-ambing...masih lagi miskin iman....

Doakanlah aku menjadi manusia yang lebih baik daripada sekarang. Manusia yang dapat merasai kelazatan iman.. Aku juga mendoakan kalian. In shaa Allah, semoga kita bersama-sama berjaya menempuh ujian dan peperiksaan ini..... Amin.

Monday, 16 September 2013

25 OGOS 2013 (Ahad)

Ya Allah.......

Lama sudah jemariku tidak menari-nari di papan kekunci Vaio putih ini....dek kesuntukan masa berkejaran ke sana ke mari....sibuk dengan tuntutan kerja dan amanah yang dipertanggungjawabkan...
Entry terakhirku pun tentang pemergian arwah abahku..tentang kerinduanku kepadanya....

Tetapi, jam 11.55 pagi tanggal 25 Ogos 2013, di saat bahang Aidilfitri masih terasa....mama kesayangan pula telah dijemput pulang oleh Rabbul Alamin...siapalah aku ini yang dapat menghalangnya...walaupun menangis air mata darah sekalipun....aku sangat terkesima...sangat tidak menyangka....secepat dan semudah itu arwah mamaku diambil-NYA...sesungguhnya, besarlah kekuasaan Allah....subhanallah..

Wahai mamaku, Rokiah Rashid....

Terima kasih atas segala kasih sayang yang kauberikan....cuma anakmu ini yang kekadang buta matanya dek kealpaan duniawi....

Terima kasih atas segala bantuan.....segala  pertolongan..yang tidak dapat aku nyatakan satu persatu kerana terlalu banyak......kini aku berdikari sendiri....rakan taulan saudara mara tidak sama dengan ibu yang satu......

Terima kasih atas segala masa yang kauperuntukkan untukku....kesudiaanmu mendengar segala masalah..segala kesulitan....segala kisah suka duka...hanya dapat kukenang selagi nyawa dikandung badan.....

Terima kasih atas segala-galanya mama.....masih terngiang-ngiang di telingaku dengan satu soalan daripada mulutmu apabila menyaksikan keletah Irfan bersamaku..."Yong, seronok tak menjadi ibu?" Pada masa itu, aku hanya ketawa sahaja.....tapi kini aku faham mengapa mama tersayang sangat protektif...sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan anak-anaknya.....

Tenanglah mama di sana, di sisi pusara abah....kini aku yatim piatu.....sebagai kakak sulung..aku perlu lebih kuat...lebih tabah....demi tiga orang adik lelakiku yang masih kelam jalan hidup mereka...

Doakanlah aku agar dapat menghadapi ranjau duri yang mendatang...moga ada sinar di penghujungnya..................................

al-Fatihah untuk kalian, ayahanda Salim Dorakim dan bonda Rokiah Rashid.....moga roh kalian dicucuri rahmah Ilahi.....dan berada dalam kalangan ahli Syurga, amin.


Friday, 31 May 2013

1 Jun 2006 yang lalu......................

1 Jun 2006 yang lalu,
Abahku telah pergi.....
menemui sang penciptanya...
seperti yang telah Dia janjikan...
Hidup ini ujian...
dan mati itu pasti..............

1 Jun 2006 yang lalu,
Aku kehilangan seorang lelaki...
yang sangat aku sayangi...
tempat aku mengadu....
tempat aku bermanja.......

1 Jun 2006 yang lalu,
Perginya dengan pesan....
Jagalah ibumu itu....
Tegurlah adindamu yang bertiga........
Nasihatilah mereka...
Sebagai kekanda yang tua...

1 Jun 2006 yang lalu,
Aku bagai patah sayap...
Aku bagai hilang arah...
Kerana semuanya di bahu...
Membuatkanku kelu hilang bicara....

1 Jun 2006 yang lalu,
Aku mula melangkah maju...
Mengatur tapak demi tapak....
Kadang kala aku terjatuh...
Selalunya aku tersungkur...
Merintih juga dalam hati...
Sukarnya hidup tanpa bapa...

1 Jun 2006 yang lalu,
Telah lama meninggalkanku...
Hampir tujuh tahun lamanya...
Aku sudah punya Irfan Aisy...
Senyuman dan gaya sepertimu abah....
Hilang separuh rinduku....

1 Jun 2006 yang lalu,
Kekal dalam lipatan kenangan...
Tak akan kulupakan...
Jasamu abah.....
Kasihmu abah....
Tegasmu abah....

Sesungguhnya kakyong tetap ingat dan mendoakan abah selalu....


INARA AISYA

Terlalu pantas cara kelahiranmu, Inara Aisya. Asalnya ibu hanya ke klinik pakar O&G Hospital Ampang hanya untuk rutin pemeriksaan setela...