Friday, 20 November 2020

INARA AISYA




Terlalu pantas cara kelahiranmu, Inara Aisya. Asalnya ibu hanya ke klinik pakar O&G Hospital Ampang hanya untuk rutin pemeriksaan setelah dua minggu berturut-turut warded akibat tekanan darah tinggi. Masa itu, tiba sahaja di pintu utama hospital, pandangan mata ibu menjadi kabur. Ibu beranggapan mungkin kesan lapar belum bersarapan. Segera ibu ke kedai membeli roti jagung dan air mineral. Ibu duduk sebentar untuk melegakan pandangan dan bersarapan. Langkah ini tidak berhasil, pandangan makin kabur disertai sakit kepala berdenyut-denyut. Maka segeralah ibu khabarkan perkara ini kepada doktor. junior yang sibuk menaip data di komputer. Cepat-cepat ibu dibawa berjumpa  doktor pakar. Setelah pemeriksaan, ibu dikejarkan ke dewan bersalin. Inara Aisya perlu dikeluarkan dengan segera. Perut ibu perlu dibedah. Mujurlah pada warded kedua tempoh hari, telah disuntik ubat Dexa untuk mematangkan paru-paru Inara. Pada masa itu, ibu pun blur dan hanya bersetuju dengan segala keputusan doktor pakar. 

Semasa berada di dalam sebuah bilik di dewan bersalin, ada juga pakar yang lain datang untuk melihat kalau boleh dilakukan proses kelahiran secara normal. Namun sia-sia sahaja. Dari jam 9 pagi setelah ditolak ke dewan bersalin hinggalah jam 5 petang, ibu dipuasakan. Dalam pada itu, datang pakar yang lain mengatakan bacaan  platlet darah ibu makin menurun. Minggu dalam wad, bacaannya 200 tapi sekarang hanya 17. Maka perlu menunggu lima peket platlet darah (warna putih) dari Pusat Darah Negara. 

Apabila waktu pembedahan tiba, dengan pantas jururawat bertugas memasukkan platlet darah, menukarkan pakaian kepada jubah biru dan menolak ke dewan pembedahan. Tempat tersebut agak menyeramkan. Kawasannya luas dan sejuk. Banyak katil tetapi tiada pesakit. Katil ibu segera ditolak ke tengah-tengah dewan. Entah kenapa tiba-tiba rasa mengelentar seluruh badan. Mungkin disebabkan sejuk atau besar kemungkinan kerana takut. Tak pernah sekalipun dalam hidup ini dibedah. 

Bersambung (ikut mood 😅)

Wednesday, 14 September 2016

IRSYAD AUFA

Salam,

Aku meninggalkan blog ini bersawang dek kesibukan duniaku.

Aku leka meladeni kesibukan hidupku hingga terlupa kepada minatku dalam penulisan blog.

Kali terakhir aku melayani blog ini Disember 2014...pada masa itu, aku hanya ada Irfan Aisy dan Ilmy Annuha.

Takdir Allah...syukur atas limpahan rezeki....tanggal 28 Oktober 2015 iaitu sehari selepas hari ulang tahun kelahiranku yang ke-38, aku selamat melahirkan seorang khalifah yang diberi nama IRSYAD AUFA.

Pemilihan nama ini bersempena nama almarhum datukku sebelah almarhumah bondaku iaitu Rasyid bin Sharif...setelah kuputar, dipusingkan wazannya...maka aku memilih nama IRSYAD.....petunjuk....

Manakala, AUFA itu yang tepat...dalam duk mereka-reka nama anak..tetiba teringat pula kepada frasa dalam bahasa Arab..aufa bi'ahdi...tepati janji...

Sekarang Irsyad Aufa hampir 11 bulan...alhamdulillah....membesar dengan sihat dan bijak...anak yang mudah dijaga...kurang meragam....sampai sekarang masih menyusu badan...

Lengkaplah 3 I A pewaris keturunan kami suami isteri....seperti biasa, kedengaran juga suara yang menyuruh kami genapkan 4 orang anak...biar 2 lelaki dan 2 perempuan....

Bab rezeki anak ini, kuserahkan kepada Yang Maha Kuasa...

Wa Allahu a'lam.

P/s: aku rasa kebanyakan kaum ibu ni akan hafal berat semasa anaknya lahir...
Irfan paling kecil 2.3kg...tengoklah gambar dia tu...stoking lagi besar daripada kaki... Ilmy pula 2.9kg...penuh pipi tu...Irsyad pula 2.6kg...masa lahir tu hanya tulang dan kulit ja...

Sunday, 14 December 2014

HYPOTHYROIDISM?

Assalamualaikum,

Rasa terpanggil pula untuk bercerita tentang hypothyroidism ni...pertama kali aku mendengar perkataan ini apabila mendapat panggilan daripada pihak Hospital Ampang pada waktu petang semasa umur baby Ilmy satu hari. Kami diminta datang ke nicu hospital pada hari keempat selepas kelahiran baby Ilmy untuk mengambil darah. Apabila ditanya kenapa...jawapan mereka ialah disebabkan bacaan darah baby Ilmy tidak "cantik" dan berada dalam kalangan hypothyroidism....

Aku yang agak2 blur juga apabila mendengar perkataan baharu itu terus meng-google untuk mencari maklumat lengkap tentang maksud dan simptom hypotyroidism...


Setelah mengkaji, menelaah dan membaca tentang hypothyroidism ini, aku menjadi takut dan bimbang....serta keliru..banyak persoalan mula bermain-main di benakku.......baby Ilmy kurang hormon tiroid? Kenapa boleh kurang? Aku salah makan ubat ke semasa mengandung dulu? Adakah ini penyakit keturunan?..walaupun sepatutnya aku perlu berehat fizikal dan mental dalam pantang, aku tak mampu untuk tidak berfikir....tambahan pula rasa keseorangan itu sentiasa menjerut perasaan....selalu sahaja terkeluar ayat, mengapalah begitu awal arwah mama pergi? Aku perlukannya untuk menghadapi cabaran ini....astaghfirullah al-azim...janganlah aku berasa begitu lagi,  Allah itu ada....Dia maha penyayang dan mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

Pada hari keempat itu, aku dan Zul pergi ke nicu untuk prosedur mengambil darah...waktu itu, jaundis baby Ilmy sudah jelas kelihatan. Zul ada menyatakan kerisauan tentang jaundis baby Ilmy kepada doktor yang terlibat tetapi nampaknya seperti tidak diendahkan oleh doktor.. mungkin inilah sebabnya Zul mengamuk di nicu pada hari kejadian baby Ilmy kena tukar darah keesokan harinya (hari kelima)...

Semasa aku berada di nicu selepas admit wad kerana jaundis yang memerlukan baby Ilmy tukar darah, pakar datang menyampaikan berita yang baby Ilmy confirm mengalami hypothyroidism...itupun setelah 4 kali darah diambil untuk kajian....pakar menegaskan yang baby Ilmy perlu dirawat secepat mungkin iaitu melalui pemberian ubat yang bernama thyroxine....

Pakar tersebut khuatir jika terlambat memberikan ubat akan menjejaskan perkembangan tumbesaran baby Ilmy fizikal dan mental. Aku hanya mendengar dan menyatakan persetujuan sahaja....aku hanya mampu memandang baby Ilmy dengan perasaan sayu juga...jika inilah takdirnya, aku harus menerima dengan tabah....

Maka bermulalah episod mengunjungi hospital setiap bulan untuk pemeriksaan berterusan...daripada temujanji setiap 2 minggu, kepada 3 minggu sekali dan sekarang setiap 5 minggu....alhamdulillah, baby Ilmy menunjukkan perkembangan yang menggalakkan....fizikal dan mentalnya berkembang pesat seiring dengan umur seperti kanak2 lain...cuma baby Ilmy perlukan bantuan ubat sahaja....

Aku tahu bahawa Allah sayangkan aku....Dia mahu aku menjadi hamba yang sentiasa berada di landasan yang betul...ujian yang diberikan ini umpama teguran dan nasihat daripada-Nya....

Nota:
1. Hypothyrodism ini ialah satu keadaan yang biasanya melanda kaum wanita...kekurangan hormon tiroid di leher...yang boleh menyebabkan bayi mengalami terencat tumbesaran dan fikiran....nauzubillahi min zalik.

2. Pada zaman kini, kekurangan ini boleh dirawat...oleh itu, setiap bayi yang baru lahir akan menjalani pemeriksaan lengkap untuk mengesan hypothyroidism ini.

3. Temujanji hospital baby Ilmy ini akan berterusan sehingga umurnya 3 tahun. Selepas itu, pakar akan meneliti prestasi baby Ilmy untuk menetapkan adakah ubat ini perlu diambil seumur hidup.

4. Kalian boleh baca pamplet yang disertakan ini untuk maklumat lanjut:





Doakanlah semoga baby Ilmy sihat dan membesar dengan sempurna.....

Terima kasih kerana membaca.


Friday, 12 December 2014

TUKAR DARAH!

Assalamualaikum,

Hari ini mood menaip sedang mengembang-ngembang...jari-jemari pun dah tak sabar nak menari-nari atas papan kekunci...

Apa kata, saya ceritakan pengalaman ILMY ANNUHA tukar darah....ye, si budak comel tu kena tukar darah akibat jaundis yang terlalu tinggi...menurut pakar kanak-kanak di Hospital Ampang, ini dalam sejarah bacaan jaundis yang paling tinggi...563.

Baby Ilmy dilahirkan secara normal...bersalin pukul 11 malam (24 Jun 2014) dan discharge dari hospital keesokan paginya, 11 pagi...semuanya nampak normal kecuali doktor bagi temujanji fisioterapi sebab baby Ilmy ada masalah tidak mahu meluruskan kakinya...Kedua-dua kakinya berlipat  seperti berada dalam kandungan...(rujuk gambar)




Ketika umur baby Ilmy 3 hari, sudah nampak kuning/jaundis...maka pelbagai usaha terus dibuat untuk mengelakkan jaundis itu makin teruk...segala petua yang digoogle, sy cuba...daripada mandi air daun yang dibeli di kedai sensei, beri titisan air anggur hitam, jemur bawah matahari, kerap beri susu badan...malah sy sendiri minum susu kambing 2 botol setiap hari....tetapi semakin hari baby Ilmy semakin kuning...

Jadi, sy teruslah membawa baby Ilmy ke klinik yang berdekatan...doktor yang merawat terus menulis surat dan meminta pergi ke bahagian kecemasan hospital sebab pada masa itu, mata baby Ilmy pun sudah menguning....


Umur baby Ilmy pada masa itu, baru 5 hari...bacaan jaundis sudah 24...apalagi, berlarilah sy ke hospital ampang...baby Ilmy mendapat laluan khas...terus dibawa ke bahagian ICU kanak-kanak...
doktor yang ada, terus membuka baju, seluar dan pampers..baby ilmy terus dimasukkan dalam bekas..sebanyak 4 lampu fototerapi digunakan...atas bawah kiri kanan....

Darah baby Ilmy diambil untuk semakan bacaan...walaupun sudah berada di bawah lampu biru, bacaan jaundis makin meningkat...doktor terus merujuk pakar untuk TUKAR DARAH...

Pada masa itu, sebagai seorang ibu...sy memang mantain tenang...walaupun ada seorang ibu di situ menjerit menangis melihat anaknya juga diperlakukan seperti baby Ilmy...anak lelakinya jaundis juga dan doktor menasihatinya untuk tukar darah...tetapi bacaan jaundis anaknya kurang daripada baby Ilmy...dalam 18-20...

Sy cuba mendapatkan informasi daripada doktor tentang buruk baik tukar darah..dan bagaimana cara proses penukaran darah....sy cuba menjadi manusia yang tenang dan boleh berfikir tanpa emosi...alhamdulillah, sy mula memahami proses tukar darah dan terus menandatangani surat kebenaran....

Jam 10.30 malam, baby Ilmy menjalani proses tukar darah...sy hanya memantau dari luar tingkap..tetapi seorang pakar datang memujuk saya agar berehat dan bertawakkal kepada Allah sahaja.

Alhamdulillah, esok paginya...baby Ilmy menunjukkan kesan yang positif...bacaan jaundis turun kepada 128 sahaja....syukur kepada tuhan.

Nota:
1. proses tukar darah itu melalui pusat...ada 2 saluran di pusat...1 untuk keluarkan darah baby, dan 1 lagi untuk masukkan darah baru. Darah yang dikeluarkan itu bukan lah sekaligus. setiap 20 ml darah keluar akan digantikan 20 ml darah baharu....total tukar darah, hampir setengah liter...

2. darah baharu itu diambil daripada bank darah negara setelah doktor mengenal pasti jenis darah baby Ilmy.

3.baby Ilmy hanya betul2 bebas jaundis selepas berumur sebulan...

4. semasa berumur 3 bulan, baby Ilmy perlu menjalani pemeriksaan telinga, otak, mata...untuk memastikan semuanya berfungsi seperti kanak-kanak normal.....alhamdulillah, baby Ilmy lulus.


p/s: semoga baby Ilmy dapat membaca post ini apabila besar nanti. Insya Allah...

Tuesday, 9 December 2014

ILMY ANNUHA

Assalamualaikum,

Harapnya tidak terlewatlah aku bercerita tentang kelahiran bayi keduaku, Ilmy Annuha....walaupun sekarang ini, si comel da berusia 5 bulan...

Pejam celik...sekejap sahaja masa berlalu...aku masih ingat lagi 24 Jun 2014 yang lalu, aku mengalami cirit-birit yang teruk angkara minum 2 sudu besar minyak kelapa dara....masa tu kandunganku sudah 9 bulan..lagi 2 hari sahaja lagi due bersalin....orang kata, minum minyak kelapa dara dapat memudahkan bersalin..jadi, aku pun cuba.....huhuhu

Disebabkan sudah tidak tahan menanggung kesakitan cirit birit, akupun pergi ke bahagian kecemasan hospital ampang....aku terus dihantar ke bilik bersalin selepas doktor memeriksa bukaan rahim....da 4cm..

Aku agak blur juga sebab....akukan sakit cirit birit...bagi ubat tahan sakitla patutnya kan...kan....ni siap check bukaan rahim...pastu, doktor tu terus memecahkan air ketuban...erkkkkk

Aku dimasukkan ke dalam dewan bersalin pada waktu petang....4 jam selepas itu, lahirlah Ilmy Annuha.... :-)

Sakit bersalin tu perghhhhh...memang boleh mematahkan tulang2ku...lagi la sebab aku tak ambil sebarang ubat atau suntikan tahan sakit....tapi apabila mendengar tangisan baby Ilmy...terus hilang segala rasa sakit...ajaib sungguhlaa..

Aku berhempas pulas juga meneran...kena la juga torehan di situ...sebab aku da x boleh nak teran sungguh2....aku tak larat...bayangkanlah aku tak makan dan badan lemah akibat cirit birit...tetiba disuruh meneran....

Apa2pun, aku bersyukur....dapat juga baby girl seperti yang arwah mama idamkan.,...alhamdulillah...terima kasih Allah.


Selamat berlibur

Assalamualaikum,

Post kedua untuk tahun ini. Satu pencapaian yang kurang memberangsangkan...betapa kesibukan itu memudarkan minat aku untuk mengarang....

Ya, aku sangat sibuk...tapi entah apa yang aku sibukkan tu...mungkin aku perlukan ilmu mengurus masa....dan...aku perlukan pengasuh yang baharu...

Nenek dan atok pengasuh sudah memberikan notis..tidak dapat lagi menjaga dan mengasuh si comel Ilmy dan si hensem Irfan... mereka berdua kesuntukan masa untuk menguruskan majlis kenduri anak perempuan tunggal...hidup di Kuala Lumpur ini tidak sama seperti di kampung...saban hari jiran tetangga mengetuk pintu bertanyakan bantuan yang boleh diberikan...bak kata pepatah, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing...

Apa-apa pun, selamat bercuti kepada semua murid dan guru...jaga keselamatan diri....penuhilah masa dengan aktiviti yang menarik dan berfaedah....aku duduk kat rumah je...sedang menyusun jadual waktu sekolah sesi 2015....sambil menguruskan anak2.....


Salam sayang;
;-)



Friday, 1 August 2014

Salam Lebaran 2014

ASSALAMUALAIKUM, SALAM AIDILFITRI..

Bersawang laman blog aku ni..rupanya aku tidak mengemaskininya sejak masuknya tahun 2014. Aku akui bahawa tahun ini aku dilanda kesibukan..masa yang ada tidak mencukupi untuk aku meninjau ke dalam blog aku ini.

Walaubagaimanapun, aku sekarang bercuti tiga bulan selepas melahirkan bayi perempuan yang bernama Ilmy Annuha... moga dengan izin-Nya, aku dapat meluangkan masa di blog ini.

Hari ini baru sahaja raya ke-5, namun aku tidak merasai kemeriahan sejak hari pertamanya lagi. Mungkin kerana aku sendiri di dalam pantang..masih lagi penat letih bertarung nyawa semasa di dewan bersalin. Namun yang pastinya, ini adalah kali pertama aku dan adik-adik beraya sebagai anak yatim. Tiada lagi raut wajah abah dan mama yang dapat kami tatapi...tiada lagi sepasang tangan tua yang dapat kami genggam dan kucup untuk memohon ampun maaf...tiada lagi kata-kata nasihat untuk kami jadikan bekal menyelusuri kehidupan ini.

Kami meraikan eidul fitri tahun ini dengan kesedihan..dengan keadaan adik beradik yang tidak dapat berkumpul semuanya..adik ketigaku juga makin sakit...entah bilalah dia akan sembuh seperti sediakala. Hanya aku dan adik keduaku sahaja yang menziarahi kubur abah dan mama... pada kami, memadailah kami pergi ke kubur sahaja pada hari raya tahun ini.

Pada petang raya pertama, kami berpecah dan pulang ke kampung mentua masing-masing. Ibu mentua kami pun sudah tua dan sakit-sakit, pada mereka sahajalah kami menumpang kasih...

Di sini saya mengambil peluang untuk mengucapkan selamat hari raya kepada rakan dan sanak saudara..maafkanlah saya dan adik-adik yang miskin hina ini, saya tahu ada yang terasa hati dengan sikap kami adik beradik...mungkin apa yang kami fikir itu tidak sama dengan pemikiran kalian..kami minta maaf banyak-banyak...

Monday, 2 December 2013

Sesudah 100 Hari

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Masa sangat cepat berlalu...sekejap sahaja sudah 100 hari mama yang tersayang meninggalkan kami adik beradik. Namun masih terdengar-dengar suaranya memanggilku, masih ternampak-nampak wajahnya yang sayu itu....

Sehingga 100 hari ini, hidup kami adik beradik masih belum lagi seperti sediakala..banyak sungguh yang berlaku...tetapi kami masih lagi tetap berusaha untuk hidup seperti biasa walaupun kami sudah tidak beribu bapa seperti kalian.


Mama, tenanglahmu di sana. Perginyamu dengan keyakinan bahawa anak-anakmu sudah tegar berdikari dan mampu mengharungi ranjau dunia ini. Kami juga entah sampai bila akan menongkah arus dunia ini. Suatu hari nanti pasti kami ke 'sana' jua. Segalanya pasti, seperti yang telah Allah janjikan.

Saturday, 30 November 2013

Sabar Itu Indah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

"Bawa-bawalah bersabar...jangan ikutkan marah..."
"Bersabarlah, Tuhan lebih sayangkannya.."
"Sabarlah sikit, ikut peraturan..jangan nak memotong je"

Kita selalu mendengar ayat-ayat berikut kan...tetapi apa itu sabar? Adakah sabar itu menahan perasaan marah seperti dalam situasi 1? atau adakah sabar itu menahan perasaan sedih seperti situasi 2? mungkin juga sabar itu bertenang dan berfikir secara wajar seperti situasi 3?


Sabar daripada segi lughah (bahasa) bermaksud menahan dan daripada segi istilah pula bermakna kekuatan jiwa untuk menahan diri daripada berakhlak buruk semasa menghadapi sesuatu musibah atau masalah.

Sabar merupakan satu sifat yang disukai oleh Allah dan perlu ada dalam diri setiap muslim kerana setiap hari kita memang menghadapi pelbagai jenis ujian, masalah dan rintangan. Dengan bersabar, kita akan  mempunyai banyak masa untuk berfikir dengan lebih wajar dan matang. Kadang-kala kita sering menyesal dek kerana ketidaksabaran, kita kehilangan sesuatu yang penting dan bermakna dalam hidup kita.

Aku masih ingat lagi pesanan pensyarah Nahu aku di KUSZA dahulu, beliau telah mencoretkan sebaris ayat apabila diminta untuk menulis buku autograf semasa aku di tahun akhir pengajian. Coretannya, "Nurly, kadang-kala kesabaran lebih penting daripada kebijaksanaan."

Ayat tersebut sebenarnya amat menghantui pemikiran aku...membuatkan aku tertanya-tanya, adakah aku ini manusia yang tidak sabar? Namun, aku cuba berlapang dada dan menganggap ini pesanan penting demi kebaikan masa depan aku.

Sejak dari hari itu, aku belajar untuk bersabar...ya, aku mengaku..dahulu aku merupakan manusia yang mudah melenting...telinga cepat panas...maklumlah darah muda...hati pun mudah panas...

Antara yang aku lakukan dahulu, mengamalkan bacaan Mathurat selepas solat....itupun selepas rakan baikku menghadiahkan buku Mathurat sempena hari lahirku yang ke-19..sebagai penghargaan atas hadiah itu, aku membacanya supaya rakanku itu juga mendapat pahalanya.

Selain itu, aku cuba belajar bersabar dengan selalu menaiki bas awam. Memang sangat berkesan..kerana kita perlu menunggu sekurang-kurangnya satu ke dua jam ketibaan bas tersebut..terutama jika kita tinggal di kampung seperti aku ni....

Lama-kelamaan, aku rasa aku semakin boleh bersabar, selain daripada faktor usia. Jika ada sesuatu perkara yang berlaku tidak kira daripada sekecil-kecil hingga sebesar-besar masalah itu, aku boleh tersenyum lagi dan mendiamkan diri. Oleh itu, apabila Allah datangkan ujian yang besar yang bertubi-tubi kepada aku dan keluarga aku selepas kematian arwah abahku..alhamdulillah, aku dapat bertenang dan cuba menghadapinya dengan setabah yang mungkin. Aku juga berjaya memujuk dan menenangkan arwah mama pada masa itu.

Baru aku sedar, sabar itu memang indah...dan bukan senang untuk menjadi manusia yang penyabar. Hanya yang mengenali aku, mengetahui segala masalah dan musibah yang menimpa kami sekeluarga sahaja yang dapat memahami perasaan aku dan keluarga.

Semua ini, alah bisa tegal biasa bagi kami sekeluarga kerana kami sedar dan tahu setiap ujian yang diberikan oleh Allah adalah tanda Dia sayangkan hamba-Nya...Dia tidak mahu hamba-Nya tergelincir dari jalan yang lurus dan melupakan-Nya. Subhanallah.

Oleh itu, wahai rakan-rakanku..marilah kita bersabar walau apa jua pun rintangan yang melanda...tetapi ingat, bukan sekadar sabar sahaja..kita wajib memohon kepada-Nya agar diringankan segala ujian....Allah suka mendengar rintihan doa hamba-Nya. Wallahu a'lam.

Thursday, 28 November 2013

Rezeki Kurniaan-NYA. Alhamdulillah.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Biarlah gambar yang bercerita dahulu.

Segala puji dan syukur untuk Tuhan sekalian alam, Allah S.W.T. Alhamdulillah atas kurniaan rezeki yang tidak disangka-sangka ini. Terima kasih Allah.

Walaupun sebagai manusia, kita boleh memilih, merancang, berusaha bersungguh-sungguh dan berdoa tetapi apabila berkaitan rezeki...itu semua adalah dalam kekuasaan-NYA.

Allah yang berkuasa menentukan ajal maut ibuku yang tersayang dan Allah jualah yang berkuasa menghidupkan janin dalam rahimku ini. Subhanallah....Maha Suci Allah....


Betapa kerdilnya kita sebagai insan di muka bumi ini. Adakah kita masih tidak mahu sujud kepada-NYA? Terlalu banyak nikmat yang telah Dia berikan kepada kita...namun kita ini masih lagi lagha..lalai..leka dengan perhiasan dunia.

Maafkan aku.

Kata-kata aku di atas itu bukan untuk kalian..tetapi untuk renungan diriku sendiri....agar aku tidak tergelincir sekali lagi...


Hidup Ini Pilihan @ Kebetulan @ Takdir ??

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Maaf kerana dimulakan dengan tajuk bertanda soal.

Persoalan sebegini sering merunsing sesetengah daripada kita apabila memikirkan tentang perjalanan kehidupan.

Sewaktu kita masih kecil, kita hanya memandang kehidupan ini sangat indah, semuanya tulus, bercahaya.

Kita sangat teruja untuk menjadi dewasa. Malahan sering membayangkan diri kita seperti watak di dalam sesebuah drama/sinetron/telenovela...

Hakikatnya, hidup ini adalah suatu ujian untuk kita. Hidup ini adalah medan peperiksaan untuk menentukan samada kita lulus cemerlang, sekadar lulus ataupun gagal.  Takdir ajal, rezeki, dan jodoh kita telah ditetapkan oleh Allah S.W.T sejak kita berada dalam kandungan lagi tetapi adakah ini merupakan lesen besar untuk kita untuk tidak berusaha? 

Pada usia sebegini , membuatkan aku memandang semula ke belakang. Apakah yang telah aku lakukan sepanjang aku hidup di dunia ini? Adakah yang aku miliki sekarang hasil daripada pilihan aku, atau semua ini datang secara kebetulan....atau, mungkin ini semua takdir hidup aku?

Aku mengaku, ada beberapa perkara penting yang berlaku dalam hidup aku ini merupakan perkara yang amat aku kesalkan hingga sekarang...tetapi aku tidak mampu untuk berbuat apa-apa...kerana semua itu telah berlalu dan menjadi sebahagian daripada sejarah hidupku.

Bagi diri aku, aku berpendapat ada sesuatu perkara yang berlaku itu merupakan pilihan aku sendiri yang pada akhirnya, aku sangat menyesal melakukannya. Ada juga perkara yang berlaku itu sekadar kebetulan tetapi aku sangat bersyukur pada akhirnya. Perkara-perkara yang telah ditakdirkan seperti pemergian ibu bapaku semasa aku masih memerlukan mereka merupakan perkara yang amat memberikan kesan dalam hidupku.

Oleh itu, untuk mengendalikan kehidupan yang berbentuk ujian dan peperiksaan ini sebenarnya kita perlukan panduan untuk mengelakkan kita daripada tergelincir. Kita perlukan ilmu dan juga bimbingan.

Panduan yang utama ialah Al-Quran, untuk membaca, mentafsir, menaakul dan mengamalkannya maka kita perlukan ilmu dan bimbingan daripada yang pakar. Aku juga seperti kalian, masih lagi lemah mengawal nafsu....masih lagi terumbang-ambing...masih lagi miskin iman....

Doakanlah aku menjadi manusia yang lebih baik daripada sekarang. Manusia yang dapat merasai kelazatan iman.. Aku juga mendoakan kalian. In shaa Allah, semoga kita bersama-sama berjaya menempuh ujian dan peperiksaan ini..... Amin.

Monday, 16 September 2013

25 OGOS 2013 (Ahad)

Ya Allah.......

Lama sudah jemariku tidak menari-nari di papan kekunci Vaio putih ini....dek kesuntukan masa berkejaran ke sana ke mari....sibuk dengan tuntutan kerja dan amanah yang dipertanggungjawabkan...
Entry terakhirku pun tentang pemergian arwah abahku..tentang kerinduanku kepadanya....

Tetapi, jam 11.55 pagi tanggal 25 Ogos 2013, di saat bahang Aidilfitri masih terasa....mama kesayangan pula telah dijemput pulang oleh Rabbul Alamin...siapalah aku ini yang dapat menghalangnya...walaupun menangis air mata darah sekalipun....aku sangat terkesima...sangat tidak menyangka....secepat dan semudah itu arwah mamaku diambil-NYA...sesungguhnya, besarlah kekuasaan Allah....subhanallah..

Wahai mamaku, Rokiah Rashid....

Terima kasih atas segala kasih sayang yang kauberikan....cuma anakmu ini yang kekadang buta matanya dek kealpaan duniawi....

Terima kasih atas segala bantuan.....segala  pertolongan..yang tidak dapat aku nyatakan satu persatu kerana terlalu banyak......kini aku berdikari sendiri....rakan taulan saudara mara tidak sama dengan ibu yang satu......

Terima kasih atas segala masa yang kauperuntukkan untukku....kesudiaanmu mendengar segala masalah..segala kesulitan....segala kisah suka duka...hanya dapat kukenang selagi nyawa dikandung badan.....

Terima kasih atas segala-galanya mama.....masih terngiang-ngiang di telingaku dengan satu soalan daripada mulutmu apabila menyaksikan keletah Irfan bersamaku..."Yong, seronok tak menjadi ibu?" Pada masa itu, aku hanya ketawa sahaja.....tapi kini aku faham mengapa mama tersayang sangat protektif...sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan anak-anaknya.....

Tenanglah mama di sana, di sisi pusara abah....kini aku yatim piatu.....sebagai kakak sulung..aku perlu lebih kuat...lebih tabah....demi tiga orang adik lelakiku yang masih kelam jalan hidup mereka...

Doakanlah aku agar dapat menghadapi ranjau duri yang mendatang...moga ada sinar di penghujungnya..................................

al-Fatihah untuk kalian, ayahanda Salim Dorakim dan bonda Rokiah Rashid.....moga roh kalian dicucuri rahmah Ilahi.....dan berada dalam kalangan ahli Syurga, amin.


Friday, 31 May 2013

1 Jun 2006 yang lalu......................

1 Jun 2006 yang lalu,
Abahku telah pergi.....
menemui sang penciptanya...
seperti yang telah Dia janjikan...
Hidup ini ujian...
dan mati itu pasti..............

1 Jun 2006 yang lalu,
Aku kehilangan seorang lelaki...
yang sangat aku sayangi...
tempat aku mengadu....
tempat aku bermanja.......

1 Jun 2006 yang lalu,
Perginya dengan pesan....
Jagalah ibumu itu....
Tegurlah adindamu yang bertiga........
Nasihatilah mereka...
Sebagai kekanda yang tua...

1 Jun 2006 yang lalu,
Aku bagai patah sayap...
Aku bagai hilang arah...
Kerana semuanya di bahu...
Membuatkanku kelu hilang bicara....

1 Jun 2006 yang lalu,
Aku mula melangkah maju...
Mengatur tapak demi tapak....
Kadang kala aku terjatuh...
Selalunya aku tersungkur...
Merintih juga dalam hati...
Sukarnya hidup tanpa bapa...

1 Jun 2006 yang lalu,
Telah lama meninggalkanku...
Hampir tujuh tahun lamanya...
Aku sudah punya Irfan Aisy...
Senyuman dan gaya sepertimu abah....
Hilang separuh rinduku....

1 Jun 2006 yang lalu,
Kekal dalam lipatan kenangan...
Tak akan kulupakan...
Jasamu abah.....
Kasihmu abah....
Tegasmu abah....

Sesungguhnya kakyong tetap ingat dan mendoakan abah selalu....


Wednesday, 8 May 2013

April Yang Telah Berlalu...

Wahai April, maafkan aku....

Aku alpa seketika dalam meladeni tugasan yang umpama bukit ini.
April juga penuh dengan keraian...Selamat Hari Lahir bondaku, Puan Rokiah Rashid..moga sentiasa tabah menghadapi dugaan hidup...ibuku ini amat sabar...sebab itulah beliau sering diduga dengan dugaan yang kadang kala tidak terfikir di benak kita...Tapi, ibu tetap juara apabila berjaya mengharungi rintangan itu.....aku amat bangga memiliki bonda sepertimu...

Selamat Hari Lahir almarhum ayahandaku, Salim Dorakim...moga rohmu sentiasa sejahtera di alam sana...ketiadaanmu ini amat kami rasakan walaupun masa berlari meninggalkan kami...tidak sekelip matapun kami lupakanmu, abah....

Selamat Hari Lahir adindaku Anwar...aku amat berharap dinda tabah melalui detik-detik sukar ini. Jadikanlah segala yang berlaku ini sebagai pengajaran yang berharga. Jangan ulangi lagi kesilapan lalu. In shaa Allah..kejayaan pasti bersamamu kelak

Selamat Datang Mei..

Selamat datang Mei...Selamat datang kesibukan....terlalu sibuk hal keduniaan sehinggakan tak sempat update blog untuk April..apa apapun itu sudah tinggal sejarah..

so, apa yang menarik di bulan Mei ini??? yup 5 Mei 2013 yang lalu kita baru sahaja mengundi sempena PRU 13...owh, saya tak mau komen panjang-panjang tentang hal ini...yang penting, saya mengundi buat kali ketiga....dan sudah tentulah undi anda rahsia? tapi ada orang kata jika kita jawab, "undi itu rahsia" menandakan kita sokong parti dacing...betul ke? hahahaha.....tepuk dada tanyalah selera sendiri...

Bulan Mei ini bulan untuk memperingati jasa ibu...jasa guru... jasa jururawat..... terfikirkah kalian, mengapa kita memerlukan masa yang khusus untuk menghargai jasa orang lain kepada kita? Bukankah kita diajar dan diasuh untuk berterima kasih dan bersyukur setiap masa? Bagaimana pula tanda kesyukuran dan terima kasih yang wajar kita tunjukkan? adakah memadai dengan menghulurkan hadiah....memeluk dan mengucapkan terima kasih?

Yang paling molek, kita sentiasa menunjukkan perhargaan kepada mereka....sentiasa menghormati mereka...sentiasa mengamalkan segala nasihat dan ajaran mereka.....

Saya percaya bukan hadiah yang ditunggu-tunggu oleh sang ibu....para guru dan jururawat, tetapi sikap dan perhatian yang kita berikan itu yang menjadi keutamaan....

Jadi diucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua ibu di dunia ini...moga sentiasa senyum, sentiasa cantik....sentiasa masak sedap-sedap.. Kepada guru pula, teruskan usaha mendidik dan mentarbiah anak-anak agar menjadi insan yang kamil...yang tahu menghormati orang lain...yang boleh memimpin keluarga dan negara... Kepada jururawat, berbaktilah dengan memberikan perkhidmatan kelas pertama kepada pesakit...walaupun pesakit itu hanya layak di kelas ketiga ^_^

Sunday, 3 March 2013

AS Beauty....Insha-Allah, selamanya.....

Assalamualaikum,

>>AS Beauty? apa tu? oh, produk kecantikan ye? 

Betullah tu tekaannya....ye, produk kecantikan...buatan Malaysia...bahan-bahan yang digunakan pun...memang ada di Malaysia...ada juga di belakang rumah kita je....macam kunyit tu.... 

>>Berkesan ke? eeee....sorry, saya tak percaya buatan Malaysia....saya guna produk antarabangsa....barangan import...artis luar negara yang jadi dutanya.....tak kisahlah harga beratus-ratus pun....

Berkesan...hasilnya sama macam kita gunakan produk antarabangsa...malah produk ini halal...dan selamat.... memang harganya murah sahaja....untuk cantik, kita tak perlukan buang duit yang banyak...memadailah kita pandai memilih dan membuat keputusan yang bijak.

>>Betul ke berkesan ni?? Siapa artis yang gunakan produk ini? 

Oh, produk ini tidak memerlukan bantuan artis untuk melariskannya... Produk ini dikenali daripada mulut ke mulut...contohnya, Mak Cik Peah Kantin Sekolah gunakan produk ini...mukanya jadi cantik berseri..semua jeragat hilang..tentulah cikgu-cikgu kat situ iri hati dan bertanya produk yang digunakan....Sebab itulah, produk ini makin dikenali dan bertambah bilangan pengguna walaupun tidak mengiklankannya dalam televisyen, radio dan majalah.....

>>Errrr.....berapa harganya kalau murah sangat tu?

Kalau baru peringkat ingin mencuba...boleh beli pek percubaan...hanya RM50 sahaja...insha-Allah dalam dua minggu sudah boleh nampak perubahannya...jika betul cara penggunaannya.

hahaha, begitulah serba sedikit pengalaman yang aku alami semasa memperkenalkan produk ini...aku menggunakan produk ini sejak Mei 2012 hingga sekarang...antara faedah yang aku peroleh ialah:

1. Jimat duit : dengan hanya satu set lengkap produk ini iaitu RM120..aku boleh gunakan selama tiga bulan...siap kongsi dengan suami aku lagi tu..


2. Jimat masa : dulu aku ambil masa yang lama untuk bersiap...mula-mula basuh muka...pakai toner...pakai serum...pakai pelembap..pakai sunblock...pakai bb cream..pakai bedak...fuhhh...
sekarang aku basuh muka, pakai krim siang...sapu bedak...siap!! 

3. Muka makin bersih : dulu aku perlu picit keluarkan biji nasi kat hidung tu...kadang-kadang beli scrub foam je...beli ubat jerawat lagi...huhuhu...sekarang? tak payah da...sebab da tak ada masalah begitu lagi....kalau adapun jerawat manja yang keluar tu, memadai guna krim malam secara konsisten...hilanglah nanti...

tak percaya lagi???? hahaha....ada aku kisah...



Jika berminat, hubungi aku ye... 




Selamat Tinggal Sahabat...

Assalamualaikum....


Aku masih lagi berduka...apabila mendapat perkhabaran tentang pemergian rakan sahabatku yang dijemput pulang oleh Malaikat Izrail untuk menemui Yang Esa...Setiap tahun aku kehilangan rakan...yang terbaru ialah sahabat baikku semasa di SM JAIM Merlimau dahulu...allahyarhamah Tutti Hayati Mohd Salleh....aku baru sahaja menelefon arwah Januari lalu untuk bertanya khabar...pada masa itu, dia sedang sakit dan berada di hospital di Kuantan...aku hanya mendoakan agarnya cepat sembuh...Namun, kita hanya merancang...Allah penentu segala...sahabatku menghembuskan nafas yang terakhir pada hari Jumaat, 22 Februari lalu....akibat kuman SLE yang sudah menjangkiti paru-paru...

Allahyarhamah seorang sahabat yang sangat baik, lemah lembut percakapannya, suka menolong dan menasihatiku.....dahulu kami bagaikan kembar kerana sama tinggi....


Aku doakan semoga arwah Tutti Hayati (sebelah kanan) berada dalam kalangan mereka yang dirahmati Allah...dan masuk syurga. Insha-Allah. al-Fatihah.

Kedua,

Seorang sahabatku yang bersama-sama belajar di Institut Pendidikan Perempuan Melayu Melaka iaitu, allahyarham Jambori Mikat juga telah dijemput untuk menemui Yang Esa akibat kemalangan jalan raya. Allahyarham seorang rakan yang suka bercerita, menasihati dan juga berjenaka...sudah tentu aku terasa kehilangannya kerana dia selalu memberi komen dalam setiap post di laman muka buku.


Ini ialah keratan akhbar tentang berita kemalangan arwah. Semoga arwah juga berada dalam kalangan mereka yang beriman. Insya-Allah. al-Fatihah..


Ketiga,

Sahabatku allahyarhamah Hazlinah Abu Samah yang selalu kutemui apabila menghadiri mesyuarat ketua panitia Bahasa Melayu semasa mengajar di Melaka dahulu. Kami sering bertukar-tukar cerita, pendapat dan kisah apabila berjumpa. Tambahan pula, kawan baik arwah juga merupakan kawan baikku semasa belajar di IPPM. Jadi makin lama hubungan kami makin erat. Namun arwah telah ditimpa kemalangan berdekatan kampung aku hingga meragut nyawanya. Aku sempat menziarahi jenazah arwah di Hospital Jasin.



Aku doakan allahyarhamah berada dalam kalangan mereka yang dirahmati Allah....insha-Allah. al-Fatihah....

Keempat,

Sahabatku allahyarhamah Noor Azfa binti Zainal Abidin...rakan sepengajian di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dan juga UKM..Kami belajar dalam bidang yang sama iaitu Bahasa dan Kesusasteraan Arab...aku selalu menemani arwah ke HUKM untuk mendapatkan pemeriksaan doktor..pada masa itu, arwah menghidapi tiroid. arwah seorang rakan yang manja tetapi tegas..maklumlah arwah anak bongsu....berita pemergian arwah telah disampaikan oleh sahabat kami juga, Yati... Arwah meninggalkan dunia yang fana ini akibat sakit athma....


(Arwah berdiri di belakang kedua dari kanan)

Selamat Tinggal sahabat-sahabatku....insha-Allah suatu hari nanti aku juga akan pergi ke sana seperti kalian...kita tidak tahu apa yang akan berlaku  esok atau lusa...

sesungguhnya mengingati mati itu sunat...supaya kita sentiasa sedar diri dan bangkit daripada kealpaan duniawi. ingatlah mati itu pasti...bukan orang tua atau orang yang sakit tenat sahaja yang akan pergi tetapi sering berlaku yang muda lela...sihat sejahtera juga dijemput pulang oleh si malaikat maut.



Tesis Aku Lahhhhh...

Assalamualaikum..

Hari ini hari Ahad...masa berehat di samping kerja-kerja sekolah yang tidak pernah nak surut...aku sepatutnya menyiapkan Headcount untuk subjek yang aku ajar...tapi aku jadi agak malas hehehe...ye la, setiap hari aku bekerja...termasuklah Sabtu..kerana aku mengajar kelas tambahan untuk murid UPSR....jadi, aku rasa aku nak rehat sekejap daripada memikirkan hal sekolah....

Oleh itu, aku pun berjalan-jalan ke blog yang ada dalam internet ini....tiba-tiba....jeng..jeng...jeng...aku terkesima...terkejut...teruja....apabila melihat sebuah buku keluaran UKM...ye, aku ni graduan lepasan UKM laaaa....bidang pengajaran Arab dan Tamadun Islam lagi...cuma rezeki aku menjadi guru Bahasa Malaysia hehehe

Ok..Ok...Ok...kembali kepada tajuk....rupanya tesis aku telah dibukukan....oh lalalala.....cuba tengok ni;





hah, nampak tak..ada tajuk "al-Musamarah: Tokoh Penyair pada Zaman 'Abbasi" tu?? inilah tajuk tesis aku..ingat lagi, pada mulanya aku kena tulis tesis tu dalam bahasa Arab....pergh jenuh bersilat nak tulis...tetapi apabila aku bertukar pensyarah penyelia..aku kena terjemahkan semula kepada bahasa Malaysia...tapi lagi bertaekwondo la aku...sebab..kebanyakan buku rujukan semuanya dalam bahasa Arab... ^_^

Apa-apapun itu adalah pengalaman dan kenangan untuk aku.... sudah tentu aku bersyukur kerana diberikan peluang untuk mempelajari bahasa Arab dengan mendalam...walaupun kerjaya aku sekarang berbeza. 

Aku pernah berkata kepada seorang senior aku dahulu yang aku berusaha untuk tidak melupakan ilmu bahasa Arab yang aku telah pelajari ini dengan mengamalkan membaca al-Quran....Namun selalunya aku sering terlupa....tak sempat....dan tentulah itu semuanya salah aku sendiri...

Jika aku berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana nanti...aku rasa aku ingin mendalami bidang Tamadun Islam. Insya-Allah ;-)

Wednesday, 30 January 2013

apabila...PERGI tak KEMBALI...

Assalamulaikum....

Minggu lepas hidupku dikejutkan oleh berita pemergian rakan seperjuanganku..yang sama-sama menuntut ilmu keguruan semasa di IPPM beberapa tahun lepas. 

Pada mulanya aku cuba untuk tidak percaya....tapi mati ini pasti...tidak akan cepat walau seminit...dan tidak akan lambat walau sesaat....Ya Allah...aku sangat insaf...Mati ini bukanlah untuk mereka yang sedang menderita sakit....bukan juga untuk mereka yang sudah bertahun-tahun terlantar di atas katil.....malahan, mati ini bukan juga pasti untuk mereka yang bergantung hidup menggunakan mesin bantuan pernafasan....

Allahyarham rakanku ini, sihat wal afiat...sentiasa bersukan...tapi dia telah dijemput Allah lebih awal...dia terlibat dalam kemalangan jalan raya....arwah menunggang motosikal..Kisah yang sama seperti 2 tahun lepas...rakan sekerjaya...sering berjumpa di mesyuarat dan kursus anjuran jabatan...telah kembali ke rahmatullah..akibat kemalangan...berdekatan kampung aku..

Sebagai hamba Allah yang percayakan takdir...redhakanlah pemergian mereka...kerana suatu hari nanti atau mungkin esok lusa...kita juga akan dijemput ke sana....





Adakah kita sudah bersedia untuk ke sana?? Sudah cukupkah bekalan kita?? 




 

Sunday, 13 January 2013

SALAHKAH NAFSU??

Assalam...

Nampaknya mood aku untuk menaip tiba-tiba muncul...Jari jemariku juga sangat bekerjasama dengan mood dan mindaku....

Ok, kita kembali kepada persoalan, "Salahkah nafsu?"... Aku sering terbaca di majalah, buku, blog dan di surat khabar...yang manusia ini sering menunding jari kepada nafsu apabila mereka tertangkap melakukan sesuatu kesilapan....

Jadi aku terfikir, adakah nafsu itu benar-benar bersalah??? memang benar kita ini diberikan nafsu...tetapi bukankah kita juga dikurniakan akal?? dan.... kita juga berusaha mempelajari ilmu pengetahuan untuk membantu akal berfikir.... malahan yang penting sekali, kita telah dibekali iman dalam diri...

Memang benar, aku juga bukanlah sesempurna mana..aku juga melakukan kesilapan...aku juga pernah berdosa.... tetapi kemusykilan aku ini ialah....mengapa kita salahkan nafsu jika kita sendiri sedar perbuatan itu berdosa?? Bukankah kita sendiri yang pilih untuk melakukannya????

Ada dalam kalangan manusia...yang sering menyalahkan nafsu...mengaku salah tapi masih lagi melakukan kesilapan.... mereka ini beranggapan diri mereka bersih dan baik...hanya nafsu itu yang salah...ketahuilah, apa akan jadi jika Allah tidak berikan nafsu kepada kita?...

Kesimpulannya, kita yang patut mengaku salah atas kesilapan diri kita....kita yang tidak pandai mengemudikan nafsu kita...kita sendiri yang tidak boleh menjaga iman yang kadangkala bertambah..dan kadangkala menurun ini...semuanya salah kita.....mengaku salah...dan berubah..itu lebih baik daripada kita menyalahkan nafsu....

Sekian.

INARA AISYA

Terlalu pantas cara kelahiranmu, Inara Aisya. Asalnya ibu hanya ke klinik pakar O&G Hospital Ampang hanya untuk rutin pemeriksaan setela...